Mutiara Kata

“Orang baik jarang mengaku jahat, tapi orang jahat seronok mengaku baik.”

Saturday 11 June 2011

LAHIRKAN PERASAAN IKHLAS DALAM IBADAT

“oleh itu, maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya (dan menjauhi syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian).                                                                                             (Surah al-Mukmin :14)

Huraian
Ulama Hasan al-Banna memberikan pengertian ikhlas sebagai sengaja melakukan perbuatan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. dan memurnikan perbuatan daripada segala bentuk kesenangan duniawi, sehingga ikhlas adalah tindakan berupa mengesakan Allah s.w.t. dan melakukan sesuatu hanya untuk Allah s.w.t.
Sungguhpun begitu, kebanyakan kita meremehkan unsur keikhlasan ini. Kemungkinan sebabnya adalah kerana ia sangat sulit dilakukan kerana untuk bersikap ikhlas, seseorang harus mampu menyingkirkan sifat angkuh dan ego di dalam dirinya.
Begitu juga dengan sifat menunjuk-nunjuk (riya'). Seorang Muslim yang mampu menjalani ibadah secara ikhlas, telah dijanjikan berbagai-bagai keutamaan oleh Allah s.w.t. sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.
Selain itu, ikhlas adalah salah satu syarat bagi seorang Muslim agar amal ibadahnya diterima oleh Allah s.w.t.

Beberapa tanda keikhlasan akan dapat dilihat jika seorang Muslim itu merasa takut untuk melanggar perintah Allah s.w.t. atau dia melakukan sesuatu kebajikan itu secara diam-diam tanpa mewar-warkannya kepada orang lain.
Seorang yang ikhlas juga akan selalu merasa dirinya kurang di sisi Allah s.w.t.
Akibatnya dia akan selalu terdorong untuk terus meningkatkan amal ibadahnya, bukannya merasa puas dan bangga atas segala ibadah yang telah dikerjakannya.

Kesimpulan:
Ikhlas adalah kunci kehambaan seseorang manusia itu terhadap Tuhannya. Tanpa rasa ikhlas, kita akan sentiasa menipu diri kita sendiri seolah-olah seorang munafik yang tidak jujur di dalam perbuatannya.
Justeru setiap Muslim hendaklah berusaha untuk meningkatkan keimanannya agar keikhlasan itu muncul di dalam jiwa, lantas menerbitkan sifat
taqwa dan hanya mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. sahaja tanpa menghiraukan ancaman mahupun ejekan musuhnya.

No comments:

Post a Comment